Friday, March 27, 2009

Berita Bioteknologi

Lulusan Bioteknologi Kini Laku Di Pasaran

Terdapat banyak peluang kerjaya dalam bidang bioteknologi iaitu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan di universiti dan pengurusan kerajaan. Manakala dalam sektor swasta pula, peluang kerjaya terbuka luas di syarikat-syarikat tempatan dan multi nasional, pertubuhan antarabangsa, pengurusan hartanah intelektual dan menubuhkan syarikat sendiri.


Menurut laporan pasaran kerja untuk graduan bioteknologi kini amat luas malah ada syarikat yang menanti-nantikan pelajar bioteknologi untuk menghabiskan pengajian mereka.


Pasaran global yang berasaskan bioteknologi juga berkembang luas.


Bioteknologi membantu dunia dengan kewujudan pelbagai teknologi baru seperti dalam perkhidmatan sokongan.Antaranya ialah instrumentasi iaitu pembangunan peralatan baru, reka bentuk perubatan yang rasional dengan menggabungkan farmaseutikal konvensional dan pembangunan ubat-ubatan berasaskan protein.


Sementara dalam pembangunan produk pula ia menghasilkan terapeutik manusia dan vaksin seperti vaksin Hepatitis B.


Ia menghasilkan benih baru untuk pertanian seperti kacang soya, produk-produk teknologi tinggi dan bawahan seperti klon kultur tisu pisang dan lain-lain.


Manakala disiplin daripada bidang bioteknologi ialah molekular biologi iaitu keupayaan memanipulasi kod genetik.


Selain itu ialah kimia protein iaitu memahami tugas-tugas protein dan penapaian iaitu menggunakan sel untuk menghasilkan produk pengkomersialan.

Antara yang paling menonjol dalam bidang bioteknologi sekarang ialah penjujukan genom dan beras.


Beras mempunyai genom paling kecil dalam pertanian bijirin dunia.


Pemahaman lokasi dan struktur satu gen dalam genom beras boleh membantu kita mencari gen yang sama dalam hasil pertanian yang lain.


Syarikat biotek diiktiraf -- Kerajaan setuju beri status Bionexus setaraf MSC – PM


08.09.2006 | NILAI 7 Sept. – Kerajaan hari ini bersetuju memberi status Bionexus – setaraf Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada syarikat yang membangunkan projek berorientasikan bioteknologi di negara ini, sebagai pengiktirafan sumbangan mereka.


Status tersebut, antara lain memberi kebebasan hak milik, tiada sekatan mengambil pekerja mahir asing, capaian rangkaian maklumat dengan pusat kecemerlangan penyelidikan serta penggunaan makmal, kemudahan dan perkhidmatan secara berkongsi.


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pemberian status Bionexus ini akan dinilai oleh Jawatankuasa Antara Kementerian dan akan ditadbir sepenuhnya oleh Malaysian Biotechnology Corporation (MBC).


“Status ini samalah juga sebagaimana status MSC yang dahulu. Jadi syarikat yang diberikan status Bionexus ini akan mendapat insentif daripada kerajaan,” katanya.


Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan serentak pembukaan kemudahan cGMP (Amalan Pengilangan Baik Terkini), Tabung Sains Hayat Malaysia dan Pusat Inovasi Bio di Kompleks Biofarmaseutikal Inno Biologics Sdn. Bhd., Putra Nilai, di sini hari ini.


Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Rustam dan Pengerusi Inno Biologics Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus.


Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pelaksanaan Bioteknologi, di sini.


Kerajaan memperkenalkan status MSC pada 1996 bagi menyemarakkan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di kalangan syarikat tempatan, di samping menarik syarikat luar untuk beroperasi di negara ini.


Antara keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan kepada syarikat berstatus MSC ini ialah 10 jaminan yang antaranya ialah tiada sekatan mengambil pekerja mahir asing, tiada cukai import kelengkapan multimedia, tiada sekatan penggunaan Internet, selain penyediaan tarif telekomunikasi yang mampu bersaing di peringkat global.


Menurut Perdana Menteri, pemegang status Bionexus akan menikmati segala keistimewaan yang hampir sama seperti MSC.


Katanya, Bajet 2007 memberi pengecualian cukai keuntungan selama 10 tahun kepada pemegang status Bionexus termasuk pengurangan cukai pada peringkat awal pelaburan.


“Kita mahu meningkatkan bilangan syarikat yang berorientasikan bioteknologi dan biotek ini kepada 200 menjelang 2010. Kita juga mahu melihat syarikat global Malaysia pada 2020. Pada masa yang sama pembangunan dan penyelidikan harus seiring dengan pembangunan itu,” katanya.


Menurut Abdullah, beliau amat gembira progres kerja yang dilakukan terhadap pembangunan bioteknologi ini kerana ia berjalan begitu cepat.


‘‘Saya berbangga dengan kerja yang dilakukan ini dan kita berharap ia dapat lebih dipercepatkan lagi supaya perkara ini dapat diperluaskan segera,” ujarnya.


Perdana Menteri juga menjelaskan, setakat ini pembangunan 25 projek bioteknologi telah dilakukan dengan nilai pelaburan RM543 juta, antaranya ialah biofarmaseutikal sebanyak sembilan projek, agrobioteknologi (7), biotek perubatan (6) dan industri biotek (3).


Dengan projek ini, Abdullah berharap ia akan diperluaskan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara, serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan, selain melahirkan saintis negara dalam bidang bioteknologi.


Beliau turut mengumumkan kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Biotechnology Corporation dan Q.B.3 Institut of University of California, San Francisco untuk bersama-sama menjayakan projek penyelidikan dan melatih penyelidik Malaysia berkaitan kaedah terkini teknik saintifik serta kerjasama bioteknologi di Inno Biologics Sdn. Bhd.


Inno Biologics Sdn. Bhd. merupakan syarikat perusahaan bioteknologi utama di bawah Inno Bio Ventures Sdn. Bhd. yang diperbadankan di bawah MOSTI dan perkhidmatannya termasuk pengklonan gen menggunakan sel mamalia, pembangunan bioproses dan pengeluaran biofarmaseutikal cGMP.


Link | http://www.utusan.com.my


100 syarikat mampu komersial produk bio
Oleh Suffian A Bakar

PERBADANAN Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), agensi yang bertanggungjawab merealisasikan objektif bioteknologi negara, mengenal pasti 100 syarikat berpotensi menjadi pengeluar produk bioteknologi secara komersial.


Ketua Eksekutifnya, Iskandar Mizal Mahmood, berkata daripada syarikat yang dikenal pasti itu, 63 sedang mendapatkan bantuan BiotechCorp.


Beliau berkata, selain membantu syarikat tempatan terbabit memulakan perniagaan, BiotechCorp juga memberikan khidmat nasihat mengenai sumber terbaik kepada keperluan individu, serta opsyen bagi kemudahan dan infrastruktur termasuk pelesenan.


“Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi membolehkan mereka mendapat bantuan pembiayaan atau geran bersesuaian,” katanya pada satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Iskandar Mizal berkata, BiotechCorp juga mendapat peruntukan RM100 juta untuk disalurkan sebagai Geran Komersial kepada syarikat baru beroperasi tetapi belum lagi bertapak kukuh.


Antara program pembangunan BiotechCorp termasuk pengambilalihan teknologi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dan perkara berkaitan harta intelek, katanya.


Menyedari bioteknologi sering kali disalah faham, beliau berkata BiotechCorp sedang merangka mengadakan forum bagi membolehkan orang ramai lebih memahami mengenai bioteknologi.


“Imaginasi spontan kita apabila memperkatakan mengenai bioteknologi ialah saintis berbaju putih di makmal dengan tabung uji mengandungi pelbagai virus.


“Ia sebenarnya lebih daripada itu. Apa yang kita buat di BiotechCorp ialah membantu rakyat Malaysia mengkomersilkan idea.


“Berapa orang sangatlah yang tahu siapa mencipta komputer peribadi, tetapi bila sebut saja nama Apple, IBM, Acer atau HP ramai yang tahu.


“Apple, IBM, Acer dan HP telah berjaya mengkomersialkan komputer peribadi,” katanya.


Bioteknologi adalah platform teknologi dan sains yang menyediakan pendekatan pelbagai disiplin tercanggih kepada pembangunan ekonomi pengetahuan.


Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).


Beliau berkata, kerajaan mensasarkan bioteknologi menyumbang 2.5 peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menerusi fasa pertama pelaksanaan dasar bioteknologi negara untuk tempoh 2005-2010 dengan nilai pengeluaran antara RM45 bilion hingga RM3.145 trilion.


Pusat Bioteknologi Felda terbesar dunia

NILAI: Pusat Bioteknologi Felda (PBF) yang dirasmikan oleh Felda baru-baru ini, menyediakan kemudahan makmal untuk menghasilkan anak benih tumbuh-tumbuhan melalui kaedah kultur tisu terutamanya sawit, pisang dan tongkat ali yang terbesar di dunia.


Pusat yang dibina dengan perbelanjaan RM25 juta itu terletak di bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, berupaya menghasilkan sehingga tiga juta anak benih sawit setahun menerusi kaedah pengklonan bagi keperluan ladang sawit dalam dan luar negara.


Makmal berkeluasan 12,000 meter persegi itu, mengganti makmal biaklon yang dahulunya beroperasi di Anjung Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan kapasiti 250,000 anak klon sawit setahun.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan pusat itu berkata, Felda perlu merebut peluang dalam bidang yang berpotensi tinggi ini untuk diceburi secara komersial bagi menjana pendapatan, sekali gus membantu peneroka meningkatkan pendapatan melalui penggunaan anak benih sawit bermutu tinggi.


“Hasil penyelidikan pusat itu, benih klon sawit bermutu tinggi dan berupaya menghasilkan Buah Tandan Segar (BTS) sehingga 40 tan/ha/tahun berbanding dengan anak benih komersial D x P pada masa ini antara 20 hingga 26 tan/ha/tahun.

“Ini selaras dengan visi Felda yang mensasarkan peningkatan pengeluaran BTS dan KPM sekurang-kurangnya 23 tan sehektar setahun dan 22 peratus KPM menjelang 2011,” katanya.


Beliau berkata, Felda dijangka berjaya mencapai Visi 35:25 yang disasarkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, iaitu pengeluaran 35 tan BTS sehektar setahun dan 25 peratus KPM menjelang tahun 2020.


“Pada peringkat permulaan, kapasiti operasi penghasilan anak klon sawit di pusat berkenaan dilakukan untuk satu juta anak benih setahun dan menjelang tahun 2010 dan seterusnya, kapasiti penghasilan akan ditingkatkan sepenuhnya kepada tiga juta setahun,” katanya.


Anak benih klon yang dihasilkan itu adalah untuk kegunaan ladang Felda dan ladang swasta lain dalam atau luar negara jika mendapat permintaan.


Benih yang dihasilkan di makmal Kuala Lumpur, kini ditanam di 6,900 hektar ladang, termasuk 5,000 hektar milik Felda dan selebihnya di beberapa ladang swasta.

Najib berkata, pembukaan pusat itu sebagai sokongan penuh Felda kepada usaha kerajaan menjadikan bioteknologi sebagai sumber pertumbuhan baru.


Ia juga adalah manifestasi kejayaan Felda dalam usaha meningkatkan mutu bahan tanaman sawit bagi industri sawit, sekali gus meningkatkan pengeluaran dan pengeksportan minyak sawit.

- mjohari@mpob.gov.my


©The New Straits Times Press (M) Berhad

1 comment:

  1. thanks for the info!
    memang igt nak teruskan pengajian dalam bidang bioteknologi.

    teruskan update ya...
    Blog ni membantu sangat!

    ReplyDelete